Ahad, Januari 25, 2015

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL MENGERATKAN SILATURAHIM

TUNGKU : Sambutan Maulidur Rasul peringkat Mukim Tambisan meriah dengan kehadiran penduduk kampung di Mukim berkenaan serta dihadiri oleh dua penceramah yang tidak asing lagi di daerah ini dengan menyelitkan sesi ceramah dan soal jawab agama bersama penduduk di Tambisan. Keunikan sambutan tersebut juga dimeriahkan lagi dengan perarakan kontinjen spanduk yang disertai oleh anggota keselamatan yang bertugas di Tambisan.

Suhaili berkata dalam ucapan perasmiannya, sambutan Maulidur Rasul yang diadakan bukanlah semata-mata untuk memperingati pergorbanan junjungan Besar Baginda Rasulullah SAW dalam menyebarkan Islam, tetapi manfaat dan kesan daripada perhimpunan maulidur rasul akan mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dikalangan masyarakat kampung dan pemimpin.

Tambahnya lagi, untuk menjalinkan silaturrahim bukanlah sukar, apatah lagi dengan kemudahan dan kecanggihan teknologi perhubungan terkini yang membolehkan silaturrahim dijalin dengan lebih erat, lebih mantap dan kukuh.

Sambutan maulidur rasul yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan negeri kawasan Tungku Datuk Haji Ustaz Mohd Suhaili Haji Said turut dihadiri oleh penduduk dari Kg. Tanjung Labian, Kg. Tagupi dan Kg, Pamanhutan.

Jelasnya lagi, keharmonian dan kesejahteraan juga adalah suatu rahmat besar yang Allah SWT kurniakan jika kita bersatupadu dan memelihara silaturrahim di antara kita. 

JOHAN PERTANDINGAN SPANDUK PIBG SK TAMBISAN MERAKAMKAN GAMBAR BERSAMA SUHAILI
Ini adalah kerana silaturrahim merupakan satu sunnah Rasulullah SAW yang kita khuatiri generasi akan datang tidak lagi berminat dengan pentingnya menjaga hubungan silaturrahim.

NURODDIN ABD RAJIN
Terdahulu Pengerusi Jawatankuasa sambutan maulidur rasul peringkat Mukim Tambisan Nuroddin Abd Rajin sambutan dan sokongan penduduk tempatan dalam menjayakan apa sahaja majlis di Tambisan adalah di tahap yang membanggakan. Beliau juga mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua ahli jawatankuasa yang terlibat dalam menjayakan majlis ini dengan jayanya dan berharap agar kerjasama ini dapat dikekalkan demi kemajuan mukim Tambisan khususnya.

SESSI SOAL JAWAB BERSAMA PENDUDUK KAMPUNG
Nuroddin yang juga pemaju mukim Tambisan yakin bahawa kemajuan di Mukim Tambisan dapat direalisasikan kerana komitmen wakil rakyat YB Datuk Haji Ustaz Mohd Suhaili Haji Said yang sentiasa membawa kemajuan sejak mukim Tambisan berpisah dari Dun Sukau. Hari ini jelas dan terbukti pelbagai pembangunan telah terlaksana seperti bekalan letrik dan pembinaan jalan bertar menghubungkan antara Felda Sahabat dan Kg. Tambisan.

Pada majlis tersebut kontinjen spanduk Persatuan Ibubapa dan guru ( PIBG ) SK Tambisan menjuarai pertandingan spanduk sempena sambutan maulidur rasul 1436 H mukim Tambisan. Manakala naib johan dinobatkan kepada kontinjen spanduk dari Sungai Nipah dan tempat ketiga kontinjen spanduk dari Tambisan Darat. Bagi anugerah tokoh Maulidur Rasul bagi Mukim Tambisan 1436 H dinobatkan kepada cikgu Rosli Ahmad

TOKOH MAULIDUR RASUL MUKIM TAMBISAN
Selain pengisian pertandingan spanduk penduduk kampung juga disajikan dengan ceramah agama dan sessi soal jawab yang disampaikan oleh Ustaz Awang Juri Awang Tahir Penolong Pegawai Tadbir Agama Daerah Sandakan dan Ustaz Rafeal Enarji Al-Hafiz Imam Masjid Daerah Sandakan.

Turut hadir Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tungku Datu Baniamin Datu Jamaluddin, Ketua Daerah Tungku Abdillah Hamzah, Pegawai Kemajuan Masyarakat Tungku Haji Kamarudin Haji Hamid dan Penyelia Kemajuan Masyarakat Tungku Sabtu Susulan.

Sabtu, Januari 24, 2015

Kelahiran Rasulullah SAW merupakan satu nikmat dan Rahmat

SUHAILI
Tungku : Membesarkan sambutan Maulidur Rasul samalah kita membesarkan Islam kerana Rasulullah SAW adalah simbol bagi agama Islam. Kelahiran dan perutusan Baginda Nabi Muhammad SAW merupakan satu nikmat dan Rahmat kepada seluruh alam. Hal ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam surah Al anbiya ayat 107 yang bermaksud " Dan tidaklah kami utuskan Engkau ( Muhammad ) melainkan sebagai rahmat ke seluruh alam. " Suhaili berkata demikian ketika merasmikan sambutan Maulidur Rasul peringkat Felda Wilayah Sahabat yang diadakan di padang serbaguna Felda Wilayah Sahabat.

Suhaili yang juga Ahli Lembaga Pengarah Felda Malaysia berkata, selaras dengan misi risalah suci yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW sebagai rahmat seluruh alam, selain menyeru manusia kepada mentauhidkan Allah dan menyampaikan syariat Islam, baginda juga diutus bagi menyempurnakan akhlak yang mulia, sebagaimana sabda Rasululah SAW yang bermaksud " Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia ".

Katanya lagi, Rasulullah SAW telah menjadi contoh kepada kehidupan sebenar seorang muslim. Sifat-sifat kenabian Baginda iaitu Sidiq ( Benar ), Amanah, Tablig ( Menyampaikan ) dan Fatanah ( Bijaksana ) perlu menjadi contoh dan teladan kepada seluruh umat Islam. Pada sambutan Maulidur rasul kali ini marilah kita bersama-sama melihat bagaimanakah sifat dan keperibadian Rasulullah SAW boleh memberi kekuatan kepada kita untuk memperbaiki diri bagi menyahut cabaran kehidupan pada masa kini. Kita perlu mengembalikan penghormatan dunia terhadap umat Islam dengan menguasai ilmu dunia dan ukhrawi.

Jesteru itu, selaku umat Nabi Muhammad SAW, wajar untuk kita sentiasa  mengenang perjuangan Baginda Rasulullah SAW dalam menyebarkan dakwah Islam. Hasil perjuangan dakwah Baginda, maka kita dapat mengecapi nikmat iman dan Islam pada hari ini, ujarnya lagi.

SAMSUL MARABANG
Sementara itu, Pengerusi Sambutan Maulidur Rasul peringkat Felda Wilayah Sahabat En. Samsul Marabang berkata, sempena dengan tema sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini," Perpaduan Nadi Transformasi Negara " menuntut umat Islam menghayati bagaimana Rasulullah SAW mentransformasikan pemikiran masyarakat Jahilliah yang tebal dengan pegangan tradisi yang karut marut dalam sejarah 23 tahun perjuangan Baginda. Sirah inilah yang perlu dihayati oleh semua umat Islam bahawa setiap perjuangan memerlukan tempoh masa yang tidak singkat dan menuntut kepada istiqamah yang tinggi.

Dalam menyambut maulidur rasul ini, tidak ada yang lebih penting melainkan untuk masyarakat menjunjung tinggi kerasulan Nabi Muhammad SAW supaya menjadikan baginda Rasulullah SAW sebagai  " uswatun hasanah " ( Ikutan dan contoh tauladan yang terbaik ) di dalam setiap aspek kehidupan manusia.

Tambahnya lagi, sehubungan dengan itu, umat islam pada hari ini perlu kuat, berilmu dan mempunyai ketakwaan yang tinggi supaya mampu menangani zaman yang sentiasa berubah dan mencabar. Umat Islam perlu menyediakan individu atau generasi yang berkualiti bagi melaksanakan agenda besar iaitu membina kemajuan, pembangunan, peradaban dan ketamadunan ummah.

JOHAN KONTINJEN SPANDUK BAGI KETEGORI JABATAN DAN AGENSI KERAJAAN
Antara pengisian dalam sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini ialah pertandingan kontinjen spanduk dan ceramah agama yang disampaikan oleh Ustaz Haji Shahrul azam Haji Noor Zeli, Pengurus Hal Ehwal Islam Tabung Haji Kuala Lumpur.

Bagi pertandingan kontinjen spanduk 1436 H ketegori Jabatan/Agensi Kerjaaan johan dinobatkan kepada kontinjen spanduk FGV PM Pejabat Wilayah, naib johan Felda Prodata dan ketiga Felda Trading Services Sdn Bhd. Manakala bagi ketegori Ladang/Masjid/ Surau, johan dinobatkan kepada Masjid Nurul Iman Cenderawasih, naib Johan Kg, Hamparan Badai dan tempat ketiga diraih oleh Kompleks Kembara Sakti.

SUHAILI MENERIMA CENDERAHATI DARI JUANY
Untuk ketegori sekolah SAR/ SK, johan disandang oleh SAR Kembara Sakti, ditempat kedua SAR Embara Budi dan ketiga SAR Cenderawaih. Sementara bagi ketegori kontinjen terbaik dan johan keseluruhan dimenangi oleh kontinjen spanduk Komplek Kembara Sakti.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengurus Besar Wilayah Felda Wilayah Sahabat, Datuk Haji Juany Haji Salleh, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tungku Datu Baniamin Datu Jamaluddin, Ketua Daerah Tungku Abdillah Hamzah, Pegawai Kemajuan Masyarakat Tungku Haji Kamarudin Haji Hamid dan Penyelia Kemajuan Masyarakat Tungku En. Sabtu Susulan.

Rabu, Januari 21, 2015

Rakyat berhak mendapatkan pembelaan daripada kerajaan

YB DATUK HAJI SUHAILI SAID
Tungku: Ahli Dewan Undangan negeri kawasan N49 Tungku Datuk Haji Ustaz Mohd Suhaili berkata, rakyat di negara ini berhak untuk mendapatkan pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan atau pemerintah yang bertangĝngjawab kepada kebajikan pembangunan ekonomi, kesihatan,pendidikan infrastruktur asas seperti bekalan letrik, air, dan jalan raya.

Kesemua ini adalah daripada pungutan cukai dan hasil daripada rakyat yang digunakan untuk pembangunan rakyat dalam sektor pembangunan seperti yang saya sebutkan. Suhaili berkata demikian ketika merasmikan program SUHAKAM bersama masyarakat Tungku yang diadakan di dewan SMK Tungku baru-baru ini.

Katanya lagi, emolumen-emolumen atau gaji kakitangan kerajaan di mana peruntukan ini diluluskan di peringkat Dewan Rakyat atau Parlimen bagi peringkat kebangsaan, manakala bagi peruntukan kerajaan negeri diputuskan oleh Dewan Undangan Negeri. Inilah yang disebut sebagai Budget di mana kerajaan tidak boleh membelanjakan wang kurang sesen atau lebih sesen dari apa yang telah diluluskan.

NORDIN KASIM
Jelasnya lagi, jesteru itu, pungutan daripada percukaian adalah demi untuk kepentingan sesebuah kerajaan yang memerintah dan rakyat yang diperintah, sekaligus menepis tuduhan segelintir individu atau kumpulan yang menyatakan cukai yang dikenakan adalah untuk kepentingan individu atau kumpulan tertentu.

" Sebagai wakil rakyat yang telah dipilih, akan sentiasa menyokong apa juga hak-hak yang diperjuangkan demi untuk kebaikan rakyat di Tungku khususnya. " Dalam masa ytang sama, rakyat juga harus lebih memahami bagaimana cara dan peraturan untuk menuntut hak-hak mereka agar proses penyelesaian tuntutan dapat diselesaikan dengan lebih harmoni dan berkesan, ujarnya lagi.

Terdahulu Pesuruhjaya SUHAKAM Sabah En. Nordin Kasim berkata dalam ucapannya, SUHAKAM  diwujudkan oleh kerajaan adalah untuk mendatangkan kebaikan kepada kerajaan, negara dan rakyat keseluruhannya. Ditubuhkan oleh Parlimen di bawah akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999, Akta 597 dan telah diwartakan pada 9 september 1999. SUHAKAM akan memenuhi tangungjawab ini denga memupuk kesedaran mengenai hak asasi mengandalikan program, seminar dan bengkel serta menyebarluas dan mengedarkan hasil penyelidikan.

ANTARA PESERTA YANG HADIR
Beliau berkata antara peranan SUHAKAM ialah menasihati kerajaan atau pihak berkuasa berhubung aduan-aduan terhadap mereka dan mencadangkan langkah-langkah yang sesuai diambil, menyiasat dan mengesahkan sebarang perlanggaran hak asasi manusia.

Katanya, sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, budaya dan agama, muafakat serta toleransi adalah teras dan resepi penting untuk kita sama-sama hidup dalam suasana yang aman damai.

SUHAILI MENERIMA CENDERAHATI DARI NORDIN
Program julung-julung kalinya diadakan di daerah Tungku ini adalah anjuran Pejabat Daerah Kecil Tungku dan Pejabat Daerah Lahad Datu dengan kerjasama Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tungku. Peserta yang menghadiri program ini adalah dari kalangan pemimpin-pemimpin masyarakat seperti ketua-ketua kampung, pengerusi-pengerusi JKKK kawasan Tungku dan masyarakat di sekitar Tungku.

Antara yang hadir pada program tersebut ialah Penolong Pegawai Daerah kecil Tungku Ibrahim Haji Abd Hakim, Penolong Pegawai Daerah Lahad Datu Jablee Jaratul, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tungku Datu Baniamin Datu Jamaluddin, Ketua Daerah Tungku Abdillah Hamzah, CDO Tungku Kamarudin Haji Hamid, ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan

Selasa, Januari 13, 2015

SEMARAKAN SEMANGAT PERPADUAN

SUHAILI
Tungku : Sambutan Maulidur Rasul yang diadakan setiap tahun ini bukan sahaja memberi ruang kepada kita untuk memperingati dan meraikan bersama hari kelahiran Nabi Muhammad SW, malah majlis ini juga merupakan wadah kita untuk mengukuhkan lagi ukhuwah dan perpaduan di kalangan umat Islam yang berbilang kaum. Suhaili berkata demikian ketika merasmikan sambutan Maulidur Rasul peringkat Daerah kecil Tungku 1435 H 2015 M.

Katanya lag, semangat ukhuwah dan perpaduan perlu sentiasa dijiwai dan disemarakkan oleh setiap lapisan masyarakat kerana ia begitu penting dalam mewujudkan keadaan yang lebih aman dan harmoni mencapai kemajuan dan kejayaan yang lebih bermakna dalam aspek kehidupan.

Suhaili yang juga Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah ( MUIS ) berkata, dalam erti kata yang lain, Maulidur Rasul yang kita sambut dan raikan setiap tahun ini hendaklah dijadikan sebagai momentum untuk mempertingkatkan lagi gerak langkah ke arah cara hidup yang sempurna sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT. Kita perlu bangkit dlm konteks pemikiran atau pembangunan minda, pembangunan iman dan akidah, pembangunan jiwa atau hati, pembangunan sikap atau akhlak, pembangunan ilmu dan keintelektualan dan perasaan dalaman umat.

IBRAHIM
Tambahnya lagi, kelahiran Rasulullah SAW merupakan satu rahmat yang bersifat menyeluruh. Ia meliputi soal-soal membimbing umat, mengukugkan nilai hidup dan mengajak ke arah jalan yang diredhai Allah SWT. Berasaskan kerangka misi ini, Rasulullah SAW mewariskan kepada umat Islam Al- Quran dan sunnahnya sebagai panduan mencorak hidup yang lebih bermakna.

Sementara itu, Penolong Pegawai Daerah Kecil Tungku Ibrahim Haji Abdul Hakim berkata dalam ucapan alu-aluannya, kita selaku umat Nabi Muhammad SAW, wajar untuk sentiasa mengenang perjuangan Baginda SAW dalam menyebarkan dakwah Islam. Hasil perjuangan dakwah Baginda Rasulullah SAW dan pengorbanan sahabat-sahabat Baginda, maka kita dapat mengecapi nikmat iman dan Islam pada hari ini.

Ujarnya lagi, kesemua aspek ini perlu dibangunkan melalui proses yang berterusan dan berkesinambungan dengan kembali semula ke landasan yang diajar dan diwasiatkan oleh Rasulullah SAW. Maka,adalah perlu bagi seluruh rakyat khususnya umat Islam kembali kepada asas ajaran Islam iaitu mentaati Allah SWT, mentaati Rasulullah SAW serta taat kepada pemimpin dengan menjadikan Al- Quran dan Sunnah sebagai pegangan serta panduan hidup.

Ibrahim yang juga Pengerusi Induk sambutan Maulidur Rasul 1436 H peringkat Daerah kecil Tungku menjelaskan selaras dengan tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini, " PERPADUAN NADI TRANSFORMASI NEGARA " adalah menjadi tanggungjawab kita bersama memerlihara perpaduan yang sedia terjalin dan demi merealisasikan Transformasi Negara dan seterusnya mempertahankan keharmonian selama ini.

Jinggal Ahmad dinobat sebagai Tokoh Maulidur Rasul 1436 H
Beliau juga merakamkan jutaan penghargaan dan tahniah kepada Jawatankuasa pelaksana majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat Daerah kecil Tungku bagi tahun ini kerana memberikan komitmen yang tinggi dan kerjasama yang baik sehingga majlis ini berjalan dengan baik dan menepati seperti yang telah dirancangkan.

Turut hadir Penolong Pegawai Daerah Lahad Datu Jablee Jaratul, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tungku Datu Baniamin Datu Jamaluddin, Ketua Daerah Tungku Abdillah Hamzah, Pengerusi PUSPANITA Tungku Puan Melisa Datan dan Pegawai Kemajuan Masyarakat Tungku Hj. Kamarudin Hj. Hamid

Antara penduduk di sekitar Tungku hadir sama meraikan sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini
Antara pengisian dalam sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini ialah ceramah agama yang disampaikan oleh Ustaz Malai Ali Malai ahmad Habeb, penceramah jemputan dari Kota Kinabalu dan persembahan kompang dari Belia Felda Sahabat dua.

Ceramah agama disampaikan oleh Ustaz Malai Ali Malai Ahmad Habeb
Bagi anugerah tokoh Maulidur Rasul peringkat Daerah kecil Tungku 1436 H dinobatkan kepada Jinggal ahmad mantan Pemimpin Kemajuan Masyarakat Tungku

Perarakan Kontenjen Spanduk dari Klinik Kesihatan Tungku ke Pejabat Daerah Kecil Tungku
Manakala pertandingan Spanduk bagi ketegori Jabatan dimenangi oleh KRT Kg Mundas, kedua Klinik Kesihatan Tungku dan tempat ketiga disandang oleh PERWANI P188 Silam.
Bagi Ketegori sekolah SK Anjung Teduh berjaya mempertahankan gelaran setelah memenanginya dan ditempat kedua SAR Kg. Dengan.Untuk ketegori Masjid Johan dimenangi oleh Masjid Jamek Ubudiyah Desa Kencana, di tempat kedua Masjid Cenderawasih dan ketika Masjid Nurul Iman Kg. Mundas.