Jumaat, September 24, 2010

Kunjung-mengunjung eratkan silaturrahim


Kemeriahan majlis rumah terbuka sepanjang bulan Syawal menterjemahkan segala-galanya betapa kukuh jalinan muhibah di kalangan rakyat berbilang bangsa dan agama di negara ini.

Perpaduan yang kukuh itu turut menterjemahkan bahawasanya semangat 1Malaysia sudah lama berputik sekali gus menunujukkan rakyat negara ini berpegang pada prinsip saling hormat-menghormati sesama sendiri.

Uniknya, kunjungan tetamu terdiri dari berbilang bangsa bukan sahaja berseorangan bahkan mereka datang secara beramai-ramai sambil bersalaman dan bertanyakan khabar.

Ia menunjukkan semangat silaturrahim sentiasa berputik kerana kestabilan politik dan keharmonian negara adalah tanggungjawab bersama.

Menurut Penolong Pegawai Tadbir, Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat (UPKR) dari Ibu Pejabat di Jabatan Ketua Menteri (JKM) En. Said Kani, ekoran semangat silaturrahim yang tinggi di kalangan rakyat telah mendorong sesetengah negara menjadikan Malaysia sebagai contoh terbaik.

" Negara kita memang unik sekali, meski pun terdiri dari berbilang bangsa dan agama tetapi saling hormat-menghormati membolehkan perpaduan yang terjalin bertambah erat," katanya kepada Utusan Borneo".

Beliau berkata begitu pada Majlis Jamuan Aidilfitri di sebuah restoran terkemuka di bandar Lahad Datu pada malam Rabu lepas sempena lawatan rasmi rombongannya keatas UKKR N49 Tungku dan N50 Lahad Datu.

Hadir sama Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Tungku, Datu Baniamin Datu Jamaludin dan PKR Lahad Datu, Aljen Johnny serta pegawai-pegawai UKPR dari kawasan terbabit.

Kata Said, konsep rumah terbuka yang diamalkan di Malaysia sebenarnya memberi mesej jelas semangat 1Malaysia terus subur.

Ini kerana, katanya konsep sedemikian jarang-jarang kita lihat di negara-negera lain melainkan di Malaysia yang umum mengetahui penduduknya terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat.

" Sebenarnya, konsep rumah terbuka telah memberi banyak manfaat bukan sekadar dapat berjabat tangan sambil bertanya khabar bahkan tetamu yang datang turut dihidangkan dengan juadah yang menyelerakan yang sudah pasti mengukuhkan lagi hubungan perpaduan yang terjalin,": tambah beliau.

Beliau berkata, tambahan pula gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak tentu akan membawa lebih banyak kejayaan pada masa akan datang,

Sementera itu, Datu Baniamin pula menegaskan semangat toleransi ini adalah hasil kesedaran rakyat yang mengambil iktibar dari keperitan hidup pada zaman penjajahan suatu ketika dahulu.

Menurut beliau, ia perlu dikekalkan kerana kejayaan sesebuah bangsa dan negara apabila penduduknya saling bersatu.

" Semangat toleransi ini memberi kekuatan kepada kita untuk mengorak kemajuan yang lebih pesat apatah lagi negara sedang menuju ke era Wawasan 2020, " jelasnya.

Ujarnya, sikap suka bertelagah tidak akan memberi apa-apa kebaikan bahkan kemudaratan dan oleh hal demikian semua pihak perlu berganding bahu bagi memastikan keharmonian terus dikecapi sampai bila-bila.

" Tengoklah sesetengah negara yang suka bertelagah tidak ada apa-apa yang boleh dibanggakan hanya kerana tengok keadaan porak-poranda yang berlaku.

" Jesteru, kita perlu mengelak semua itu. Pun begitu, saya berbangga dengan cara hidup masyarakat Malaysia yang lebih mengutamakan perpaduan kaum di mana semangat sedemikian telah membolehkannya begitu terkenal sebagai di antara negara wajar menjadi ikutan, " kata Datu Baniamin.

Isnin, September 13, 2010

Malaysia menjadi contoh terbaik

MESRA-Suhaili melayan tatamu yang hadir

Tungku : Amalan kunjung-mengunjungi di kalangan rakyat berbilang bangsa dan anutan agama di negara ini menjadi landasan kukuh kepada rakyat jelata untuk mengukuhkan hubungan perpaduan yang sedia wujud.
ADUN N49 Tungku, Datuk Mohd Suhaili Haji Said berkata, amalan murni ini perlu diteruskan kerana ia menjadi penanda aras betapa rakyat di negara ini sayangkan keamanan dan keharmonian yang telah dipupuk setelah sekian lama.

Berikutan itu, ujarnya, sesetengah negara di dunia banyak belajar dan mencontohi cara pemimpin kita dalam mentadbir negara yang terdiri dari pelbagai keturunan.

Tidak banyak negara di dunia seperti Malaysia yang terdiri dari pelbagai keturunan tetapi boleh hidup aman dan damai.

" Sebab itu, negara kita sering menjadi ikutan negara-negara lain kerana bagi mereka negara ini sangat unik bila tibanya sesuatu perayaan maka di situlah nampak keharmonian kaum, " katanya.

Suhaili yang juga Presiden Majlis Hal-Ehwal Anak Negeri Sabah (MHEANS) berkata demikian di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri beliau yang diadakan di kediamannya di Kg. Remang, Jalan Tungku, dekat sini pada hari raya pertama.

Beliau berharap dengan kehadiran Aidilfitri kali ini akan memberi kekuatan kepada umat Islam dalam mengukuhkan perpaduan di kalangan rakyat secara keseluruhannya.

" Selama sebulan menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan dalam mengerjakan ibadah Puasa, maka pada hari yang mulia di pagi Aidilfitri ini, saya berharap agar ianya menjadi satu titik untuk kita berubah menjadi makhluk Allah SWT yang sentiasa bertakwa dan beriman kepadaNya.

Dalam masa yang sama, kita juga tidak akan melupakan orang-orang yang tidak dapat bersama-sama meraikan Aidilfitri kerana kemungkinan ada yang berada di perantauan atau sedang terlantar sakit di hospital, maka dengan itu saya berharap marilah kita sama-sama mengeratkan silaturrahim dengan meneruskan tradisi kunjung-mengunjungi di antara satu sama lain, " tambah beliau.

Sementera itu, majlis rumah terbuka beliau diserikan dengan lagu-lagu sekola Hari Raya sambil tetamu yang datang terdiri daripada lapisan masyarakat di kawasan Tungku dan Lahad Datu khususnya menikmati juadah ketupat, lemang dan rendang serta kambing masak kari yang dimasak sendiri oleh beliau.

Sambil bersalam-salaman dengan tetamu lain, mereka yang datang juga tidak lupa untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepda Suhaili serta keluarga beliau.

Jumaat, September 10, 2010

Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin

Adalah dengan ini saya YB Mejar (K) Datuk Ustaz Mohd Suhaili Haji Said Anggota Dewan Undangan Negeri N49 Tungku merangkap Timbalan Ketua Bahagian Umno Bahagian Silam mengucapkan selamat berpuasa kepada semua penduduk di kawasan Silam dan Tungku.

Semoga dengan kehadiran Aidil Fitri kali ini akan memberi kita kekuatan dalam kita mengukuhkan perpaduan di kalangan rakyat keseluruhannya.

Setelah kita sebulan menghadapi pelbagai cabaran di dalam mengerjakan ibadah Puasa, maka pada hari yang mulia di Aidil Fitri ini, saya berharap agar ianya menjadi satu titik untuk kita berubah menjadi makhluk Allah SWT yang sentiasa bertakwa dan beriman kepadaNya.

Dalam masa yang sama, kita juga tidak akan melupakan orang-orang yang tidak dapat bersama-sama meraikan aidil fitri kerana kemungkinan ada yang berada di perantauan atau sedang terlantar sakit di hospital, maka adalah dengan ini saya berharap marilah kita sama-sama kunjung-mengunjungi di antara satu sama lain bagi mengeratkan silaturrahim yang sedia wujud.

Akhir kalam, Aidil Fitri adalah kemenangan besar kepada umat Islam yang telah berjuang selama sebulan di dalam bulan Ramadhan yang mulia. Perkukuhkan perpaduan demi untuk memartabatkan agama, bangsa dan negara.

Sekian, Wabillah hi taufiq wal hidayah Assalamualaikum warahmatullah hi wabarakatoh...

Rabu, September 08, 2010

Sudah tiba masanya Tungku memiliki balai bomba

Lahad Datu : Perancangan kerajaan untuk mewujudkan balai bomba di setiap kawasan Parlimen memberi kelegaan kepada pemimpin masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) N49 Tungku yang memerlukan sebuah balai bomba sejak sekian lama.

Lawatan PKR ke Asrama yang terbakar dekat Tungku
Sebelum ini, wujud kebimbangan di kalangan penduduk di situ kerana ketiadaan balai bomba yang memaksa Jabatan Bomba dan Penyelamat Lahad Datu terletak di Jalan Pintas itu terpaksa menyusuri jalan sejauh lebih 80 kilometer untuk sampai di Tungku sekiranya berlaku kebakaran.

Kebimbangan kian ketara kononnya pernah suatu ketika dahulu sebahagian bangunan Asrama di sekolah dekat Tungku terbakar disebabkan anggota bomba lambat sampai ke tempat kejadian.

Lantaran itu, rancangan kerajaan seperti diumumkan baru-baru ini memberikan sedikit kelegaan lebih-lebih kawasan DUN N49 Tungku itu terletak di dalam Parlimen Silam.

Datu Baniamin Datu Jamaluddin
Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Tungku, Datu Baniamin Datu Jamaluddin berharap sebuah balai bomba akan dapat dibina bagi mengatasi masalah sekiranya berlaku sesuatu kebakaran di kawasan berkenaan.

Katanya, kemudahan balai bomba perlu disegerakan sebab manakan pula mengharapkan jentera dari sini untuk pergi ke Tungku sejauh 80 kilometer.

" Kita berharap dengan perancangan pihak kerajaan untuk mewujudkan sebuah balai bomba di setiap kawasan Parlimen akan dapat memasukkan Tungku antara tempat perlu diberi perhatian sebab Tungku benar-benar memerlukan balai bomba, " katanya kepada Utusan Borneo di sini baru-baru ini.

Datu Baniamin memberitahu Tungku bukan lagi seperti dulu tetapi sudah banyak perubahan dari segi pembangunan prasarana dan infraktruktur lebih-lebih lagi dengan kewujudan Taman Perindustrian Hiliran Kelapa Sawit ( POIC ) Lahad Datu dan industri hiliran lain.

Kamarudin Haji Hamid
Sementara itu, Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) Tungku, Kamarudin Haji Hamid, juga berharap balai bomba dapat diwujudkan bagi mengelak masalah berulang lagi pada masa akan datang.

" Saya berpendapat bahawa Tungku amat memerlukan sebuah balai bomba kerana kepesatan pembangunan yang semakin rancak di kawasan ini manakan pula mengharapkan lagi jentera bomba dari bandar Lahad Datu, " soal beliau.

Beliau berharap perancangan pihak kerajaan itu turut memberi tumpuan kepada DUN N49 Tungku yang juga terletak di bawah Parlimen Silam.

Abdul Hadji Asari
Tiga minggu lepas, akhbar ini turut menyiarkan keluhan Pemaju Mukim Silabukan, Abdul Hadji Asari yang turut mengharapkan supaya pihak kerajaan mempertimbangkan cadangan untuk sebuah balai bomba di kawasan tersebut.

" Sudah tiba masanya untuk kawasan Tungku memiliki balai bomba sendiri sebab pernah berlaku satu kebakaran di sebuah sekolah menengah yang sebahagian besar bangunannya musnah dijilat api kerana pihak bomba lambat sampai. "

Selasa, September 07, 2010

Kelab Pengguna Tungku dibentuk

Tungku : Kelab Pengguna Kementerian Pengguna Masyarakat dan Hal-Ehwal Pengguna Negeri Sabah (KPMHEP) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N49 Tungku akan dibentuk selepas perayaan Hari Raya AidilFitri.

Datu Baniamin Datu Jamaludin
Menurut, Pemimpin Kemajuan Rakyat ( PKR ) Tungku, Datu Baniamin Datu Jamaludin, sasaran ahli jawatankuasa yang akan dilantik adalah terdiri daripada kakitangan Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat ( UPKR ) Tungku, Ketua-ketua Anak Negeri, Wakil ketua anak negeri, pemimpin masyarakat dan individu yang difikirkan boleh menyumbang buah fikiran dan tenaga menjayakan aktiviti kelab tersebut.

" Kita akan melantik orang-orang yang boleh memberi kerjasama dalam menjayakan visi dan misi Kelab Pengguna Tungku ini, " katanya selaku pengerusi kepada kelab berkenaan,

Beliau berkata, maklamat kelab ini adalah bertujuan bagi menyedarkan para pengguna tentang pentingnya peranan sebagai seorang pengguna.

Katanya, selaras saranan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman pada majlis perlantikan kepada semua PKR di negeri ini sebagai pengerusi kelab berkenaan di setiap DUN.

Di mana, katanya lagi, sasaran keahlian terdiri daripada pemimpin masyarakat memandangkan mereka sering berdamping dengan masyarakat setempat.

" Maka dengan itu, objektif kelab ini akan dapat disampaikan dengan lebih berkesan. Pihak kelab juga telah pun dibekalkan dengan garis panduan bagi membuat undang-undang kecil oleh KPMHEP," jelasnya dalam satu kenyataan akhbar kelmarin."

Sementara itu, beliau mengingatkan orang ramai khususnya golongan surirumah supaya tidak berbelanja mengikut sesuka hati sebaliknya hanya membeli barangan keperluan semasa musim perayaan.

Ujarnya, ini bagi mengelak beban yang akan ditanggung selepas musim perayaan akibat boros semasa berbelanja.

" Perlu diingatkan bahawa selepas perayaan nanti, kita juga perlukan wang untuk keperluan harian, jadi, mestilah berjimat- cermat dan jangan pula boros," katanya.

Khamis, September 02, 2010

Bersatu padu eratkan hubungan silaturahim di kalangan rakyat

Datuk Ustaz Mohd Suhaili Haji Said
Tungku : Kita hendaklah bersatu padu bagi mengukuhkan perpaduan yang jitu dan harmoni di kalangan masyarakat kita pada hari ini.

Tanpa perpaduan pada hari ini, maka tidak akan wujud keharmonian dan ini sudah tentu akan menimbulkan ketidakselesaan di kalangan rakyat secara keseluruhannnya, ujar Suhaili iaitu Anggota Dewan Undangan Negeri ( ADUN) N49 Tungku ketika menyampaikan agihan wang Zakat kepada fakir miskin dan muallaf di kawasan Mukin Tungku.

Tambahnya lagi, ini terbukti apabila di negara ini wujudnya perpaduan dan keharmonian yang baik di kalangan masyarakat berbilang bangsa dan agama.

" Kita lihat pada hari ini, di negara-negara luar seperti di Thailand, Irag, pelestin dan di negara asia barat, pergolakan demi pergolakan terjadi disebabkan tiadanya perpaduan di kalangan rakyat di negara mereka.

Suhaili menyerahkan kepada salah seorang penerima Zakat
Oleh yang demikian, asas utama kepada keharmonian di dalam sesebuah negara adalah perpaduan. Peliharalah perpaduan dan keharmonian di negara ini demi untuk memartabatkan Malaysia di mata dunia.

Menurut Suhaili yang juga Timbalan Ketua Bahagian UMNO Silam, umat islam diikat dengan tali persaudaraan, diperintah berjemaah ketika solat untuk meningkatkan silaturrahim sesama Islam, tidak terkecuali masyarakat lain agar timbul perasaan kasih sayang dan perpaduan.

Penerima Agihan wang zakat Mukim Tungku
Dalam majlis tersebut, seramai 273 orang menerima agihan wang zakat fitrah pada tahun ini di kawasan Mukim Tungku di mana setiap seorang daripada mereka akan menerima RM 200.00.

Justeru itu, Suhaili menasihatkan kepada penerima-penerima bantuan  agihan wang zakat menggunakan wang tersebut dengan sebaik-baiknya apatah lagi umat Islam tidak lama lagi akan menyambut Aidil Fitri.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Penolong Pegawai Daerah Kecil Tungku En. Ibrahim bin Haji Abd Hakim, Pegawai Agama Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam Negeri Sabah Lahad Datu En. Haji Gaspar Sari, Pegawai Kemajuan Masyarakat N49 Tungku En. Kamarudin Haji Hamid dan ketua-ketua masyarakat di kawasan Tungku.

Rabu, September 01, 2010

Pemimpin sepakat teruskan projek

Loji Janakuasa arang batu di Kapar, Selangor
Lahad Datu - Kononnya sejarah loji janakuasa arang batu telah digunakan untuk menghasilkan tenaga elektrik semenjak 1880-an di Amerika Syarikat.

Dalam tahun 1920-an pembakaran arang batu serbuk diperkenalkan untuk penambahbaikan pembakaran serta untuk meningkatkan kecekapan loji.

Penambahbaikan dalam semua segi untuk loji janakuasa di samping mesin-mesin baru berinovatif telah menyebabkan penjanaan menggunakan arang batu semakin murah dan digunakan secara meluas pada hari ini,

Kebanyakan penambahbaikan adalah berkisar kepada teknologi mesra alam atau ' Clean Coal '. Di Malaysia, loji janakuasa pertama yang menggunakan arang batu telah dibina di Kapar, Selangor oleh Lembaga Letrik Negara ( LLN ) pada tahun 1988.

Stesen Janakuasa Arang Batu di Manjong, Perak
Buat masa sekarang, terdapat empat loji janakuasa terbesar di Semenanjung Malaysia ( 7200MW) dan dua di Sarawak (480MW).

Bagaimanapun, di Lahad Datu cadangan pembinaan loji janakuasa arang batu di Teluk Dent dekat Sinakut menimbulkan banyak masalah.

Ini berukutan bantahan hebat yang dikemukakan oleh pihak pencinta alam sekitar yang mendakwa arang batu mampu mencemarkan alam sekitar selain menggugat kesihatan penduduk setempat.

Berikutan bantahan itu, kerajaan perlu menerima laporan penuh dariapada Kajian Terperinci Kesan Alam Sekitar ( EIA ) sebelum projek berkenaan dilaksanakan.

Namun demikian, bagi penduduk Tungku mereka amat mengharapkan pembinaan loji janakuasa arang batu di Teluk Dent diteruskan.

Penduduk Lahad Datu mahukan Loji Arang Batu diteruskan
Apa pun berlaku sama ada ia masih dikaji atau dibatalkan sekali pun mereka tetap dengan pendirian kukuh supaya pembinaan loji berkenaan dapat diteruskan atas alasan untuk memberikan bekalan tenaga yang mencukupi di Pantai Timur Sabah.

Tambahan pula Lahad Datu yang terkenal dengan jolokan sebagai ' Bandar Palma ' sedang pesat membangun dengan kewujudan Taman Perindustrian Hiliran Kelapa Sawit ( POIC ) Lahad Datu dan industri-industri hiliran lain berasaskan sektor perikanan serta perlancongan.

Tapak cadangan Lapangan Terbang di kawasan Silabukan
Terbaru, Lapangan Terbang Baru Lahad Datu yang dicadangkan di kawasan Silabukan, Tungku bagi menggantikan lapangan terbang sedia ada.

Pembangunan secara terancang itu tentulah memerlukan bekalan tenaga yang mencukupi bagi melancarkan operasinya nanti.

Andai kata bekalan tenaga masih merupakan antara masalah utama di Tungku, jadi bagaimana pula dengan kegiatan pembangunan yang sedang rancak dirangka sekarang ini.

" Inilah antara masalah yang kami fikirkan. Kegiatan pembangunan begitu rancak dengan pembinaan  POIC dan terbaru pula wujudnya sebuah lapangan terbang baru di kawasan Silabukan."

Tentunya ia memerlukan sebuah janakuasa induk yang dapat menyokong operasinya tetapi jikalau bekalan tenaga tidak stabil macam mana pula , " kata Ketua Daerah Lahad Datu, OKK Sulaiman Pengiran Atok.

Dalam satu temubual eksklusif bersama Utusan Borneo di sebuah hotel di bandar berkenaan pada malan Ahad lepas, OKK Sulaiman, 57, berharap pembinaan loji janakuasa arang batu di Teluk Dent dapat diteruskan.

Ini kerana, katanya, masalah bekalan tenaga yang seringkali terputus antara penyebab betapa perlu loji seumpana itu bagi membantu mengurangkan masalah berlarutan sejak sekian lamanya ini.

Beliau, adalah salah seorang pemimpin masyarakat di Lahad Datu mahu supaya loji seumpama itu dilaksanakan segera.

" Sebab, saya mengambil kita kepentingan masyarakat yang selama ini dibelenggu dengan masalah elektrik yang dikatakan seringkali terputus," jelasnya semasa ditemui pada majlis Bebuka Puasa bersama penduduk Tungku anjuran Jawatankuasa Bertindak Rakyat Menyokong Pembinaan Loji Janakuasa Arang Batu di Teluk Dent, Sinakut."

Suhaili turut hadir berbuka puasa
Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Anggota Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) N49 Tungku, Datuk Ustaz Mohd Suhaili Hj. Said.

OKK Sulaiman percaya apabila wujudnya arang batu bukan sahaja merancakkan proses pembangunan berasaskan pertanian, perikanan dan perlancongan tetapi juga membantu kanak-kanak sekolah apabila mengulangkaji pelajaran pada waktu malam.

Sementera itu, Ketua Daerah Tungku, OKK Abdillah Hamzah pula mahu pembinaan loji berkenaan disegerakan.

OKK Abdillah Hamzah
Ini katanya, penduduk di kawasan Tungku khususnya masih menghadapi masalah bekalan elektrik yang kritikal sekali gus menjejaskan kehidupan harian penduduk setempat.

" Bayangkanlah, dalam satu malam sampai dua kali bekalan elektrik terputus, Yang mengecewakan anak-anak yang mengulangkali pelajaran di rumah akan terganggu akibat kekerapan gangguan belakan elektrik," beritahunya.

Lantaran itu, OKK Abdillah, 66, menyokong penuh pembinaan loji janakuasa arang batu yang dicadangkan di Teluk Dent dekat Sinakut sekali gus mengurangkan masalah bekalan elektrik selama ini.

 Beliau kurang setuju kononnya arang batu boleh mencemarkan alam sekitar sedangkan dalam lawatan mereka ke loji janakuasa di beberapa negeri mendapati ianya dikawal secara rapi pada setiap masa.

Raut Bani
Bagi Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung ( JKKK ) Kg. Sungai Merah dan Kg. Sinakut iaitu Raut bin Bani memberitahu sudah tiba masanya bagi perkampungan mereka menikmati bekalan elektrik secara 24 jam.

Ujarnya, sampai bila pula mereka perlu menggunakan generator sedangkan kawasan-kawasan lain sudah dapat menikmati bekalan elektrik sendiri.

" Kami inginkan perubahan di Sinakut dan sebab itulah kami menyokong pembinaan loji janakuasa arang batu sebab kami tahu ia bukan saja membawa bekalan elektrik tetapi akan mewujudkan peluang-peluang perniagaan kepada penduduk setempat, " jelasnya.

Raut, 52, memberitahu pihak yang bertanggungjawab bagi melaksanakan projek tersebut akan menjalankan langkah-langkah kawalan apabila ia beroperasi nanti.

Dia tidak setuju dengan pandangan sesetengah pihak kononnya loji seumpama itu akan mencemarkan alam sekitar sedangkan dalam lawatan yang pernah diikutinya dulu tidak pula menunjukkan tanda-tanda pencemaran.

" Saya nampak setiap operasi arang batu dikawal rapi malahan terdapat burung layang-layang yang bebas terbang di sekitar loji janakuasa arang batu, " ujarnya.

Imam Rawatib di Kg. Sinakut, Abdul Mutalib Alias juga menyokong penuh pembinaan loji berkenaan dan menurutnya ia perlu dibina segera bagi mengatasi masalah bekalan elektrik sejak sekian lama.

Katanya, ia bukan sahaja memberi manfaat dari segi menyalurkan bekalan elektrik secara 24 jam tetapi turut memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

" Saya sokong, itu saja, " kata Abd Mutalib, 60, dari Sinakut.

Seorang belia dari bandar Lahad Datu iaitu Azmi Salahuddin juga mahu loji berkenaan diteruskan di Teluk Dent.

Azmi, 21, percaya Lahad Datu yang pesat membangun sekarang ini akan muncul antara daerah penyumbang terbesar kepada ekonomi negeri sekiranya arang batu menjadi kenyataan kelak.

Dalam pada itu, Ketua Kampung Telisai, Maihaddin Alibasa, juga menyokong penuh cadangan bagi pembinaan loji janakuasa arang batu di Teluk Dent itu.

Ini kerana, katanya sejak kebelakangan ini daerah Lahad Datu seringkali mengalami gangguan bekalan yang bukan lagi perkara baru bagi mereka sebagai penduduk di Tungku itu.

" Saya sokong dengan loji arang batu yang dilihat akan mengatasi masalah yang membelenggu penduduk setelah sekian lama. Saya harap ia bakal menjadi kenyataan, " kata Maihaddin, 53, ketika ditemui.

Wakil Ketua Anak Negeri ( WKAN ) Tungku, Abd Rahman Haji Basar pula mahu supaya kerajaan meneruskan projek tersebut.

Abdul Rahman, 44, berkata daerah Lahad Datu sedang pesat membangun dan tentu ia memerlukan sebuah janakuasa induk yang dapat mengatasi gangguan bekalan.

Kamarudin Haji Hamid
Pegawai Kemajuan Masyarakat ( CDO ) Tungku, Kamarudin Haji Hamid, percaya apabila loji berkenaan menjadi kenyataan maka Lahad Datu akan berkembang pesat dengan pelbagai kegiatan pembangunan.

" Sebab itu, kami amat menyokong penuh pembinaannya sebab kami tahu loji arang batu begitu penting untuk ekonomi Lahad Datu yang terletak di titik paling akhir dalam peta negara ini, " katanya.

Justeru, Kamarudin, 36, mahu pembinaan loji arang batu dapat diteruskan ke arah merancakkan program pembangunan yang berasaskan pertanian, perikanan dan pelancongan.

Abd Hadji Asari
Bagi Pengerusi Biro Alam Sekitar UMNO Bahagian Silam iaitu Abdul Hadji Asari percaya loji janakuasa arang batu tidak akan mencemarkan alam sekitar.

Ini kerana, katanya, pihak yang akan menjalankan pembinaan projek berkenaan seperti Lahad Datu Energy ( LDE ) akan menjalankan pemantauan rapi samada proses pembinaannya mahu pun setelah beroperasi nanti.

" Saya yakin ia mungkin tidak akan mencemarkan berdasarkan kepada lawatan yang kami ikuti ke beberapa loji janakuasa arang batu di Semenanjung Malaysia yang operasinya dikawal rapi pada setiap masa.

" Malahan, burung Layang-Layang yang kita tahu amat sensitif dengan gangguan di sekitarnya boleh terbang bebas di kawasan arang batu bahkan hinggap di bangunan kosong untuk burung berkenaan bersarang, " beritahunya.

Abdul Hadji yang juga Pemaju Mukim Silabukan mengharapkan agar projek loji janakuasa arang batu akan menjadi kenyataan memandangkan pembangunan Lahad Datu sedang berjalan lancar.

Jelasnya, ini termasuklah projek mega POIC dan sebuah lapangan terbang baru dicadangkan di Silabukan mendorong perlu janakuasa induk seperti loji janakuasa arang batu di Teluk Dent dekat Sinakut itu.